Anda sunyi. Anda mahukan seseorang sebagai teman bicara. Anda cari di mana-mana. Namun tiada berjumpa. Anda rindukan suaranya. Suara itu pernah singgah di telinga anda, tapi lama dahulu. Di manakah dia kini. Anda amat-amat rindu.
Ada ketikanya anda akan berasa seperti ini. Pada saat-saat sunyi di petang hari, tiba-tiba nostalgia anda mengheret ke suatu suasana. Suasana itu seperti pernah dilalui. Anda seperti terdengar gelak ketawanya. Gurau sendanya terasa masih segar.
Ah, dia yang pernah mencuri hati anda. Suatu ketika dahulu tatkala alam keremajaan anda. Di mana dia kini. Anda tertanya-tanya. Jawapannya tidak akan pernah anda temui. Dalam kerinduan yang tidak bertepi ini anda lemas dalam lautan rindu. Entah milik siapa. Entah untuk siapa. Anda keliru dan tidak tahu. Yang nyata anda seperti merindui seseorang.
Ada ketikanya anda lemas dan tenggelam. Anda sayu. Perasaan anda bagaikan dilayat-layat rindu. Anda bukan tidak tahu anda telah berpunya sekarang ini. Dalam keadaan seperti ini merindui entah siapa-siapa di luar sana tidak patut sama sekali. Anda amat tahu itu.
Yang nyata anda amat rindu...
Tika ini anda dalam arus theta atau delta; dua arus yang membawa manusia pada kemunduran. Arus ini adalah arus khayalan yang melemahkan. Anda seolah-olah tiada bertenaga. Badan terasa lemah sekali dan ada kalanya dahi terasa sakit.
Arus ini akan terus membuai perasaan anda dengan kenangan-kenangan silam. Ditambah lagu nostalgia yang mungkin berkumandang di corong radio. Anda benar-benar lemas.
Anda cuba-cuba mengagahkan diri dengan melakukan apa-apa kerja, tapi hasilnya selalu tidak menjadi.
Anda benar-benar gelisah dan keliru. Siapakah yang aku rindukan? Entah, jawapan tiada di hati anda.
Anda mungkin cuba keluar dari kepompong yang menghimpit. Tujuan anda murni, hendak membebaskan dari dari penjara diri, agar dengan itu alam terasa luas kembali.
Tapi keluarnya anda dengan hati yang terpenjara, dipenjara oleh perasaan yang tidak pasti. Tidak pasti apakah anda patut senyum; tidak pasti apakah anda patut tertawa atau terus bermuram.
Apa yang anda tampilkan pasti ketara pada penglihatan orang. Perubahan anda itu nyata, terang lagi bersuluh. Orang dengan mudah dapat membaca sesuatu yang tidak keruan sedang mengambil tempat dalam diri anda.
Lalu anda pun mungkin disapa seseorang. Dalam keadaan demikian jawapan anda mungkin melambangkan kesedihan, kemurungan mahupun kegembiraan yang dibuat-buat. Orang dengan mudah dapat membaca segala-galanya. Jika dia lelaki dia mungkin merasakan bertanggungjawab membantu anda. Anda yang dalam kekosongan dan kesepian, sapaan pastinya amat didambakan. Tanpa sedar anda mungkin menceritakan gundah gulana yang membungkus di hati.
Suara anda tentu lemah, melambangkan arus theta dan delta yang mencetus dari diri anda. Anda sedar anda mengundang simpati. Orang yang mendengar kata-kata anda mungkin terkalih, daripada ikhlas hendak mendengar permasalahan anda pada perasaan yang tidak terduga. Di situlah kadang-kadang bermulanya satu-satu perhubungan terlarang.
"Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga keinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik."Al-Ahzab: 32
Ubatilah kerinduan anda yang tidak bertepi itu dengan doa, Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh ALLAH. DIA-lah pelindung kami dan hanya kepada ALLAH orang yang beriman harus bertawakal. At-Taubah: 51
Untuk merindui zaman silam saatnya sudah tidak sesuai.
Tiada Ungkapan Perpisahan Dlm Sebuah P'sahabatan...
Walaupun Maut Menjadikan Noktahnya...
Kerana Seorang Sahabat Itu Istimewa...
Dalam Doa Saudaranya Yg Lain...
Biarpun Tanpa Bayanganya...